KUALA LUMPUR: Co-opbank Pertama (CBP) menjalin kerjasama strategik bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi menawarkan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) di semua cawangan bank itu sebagai rakan promosi rasmi.
Ketua Pegawai Eksekutif CBP Khairil Anuar Mohammad Anuar berkata langkah itu selaras dengan komitmen mereka membangunkan kesejahteraan sosioekonomi masyarakat menerusi penyediaan akses kepada perlindungan sosial yang menyeluruh dan sesuai dengan keperluan semasa.
“Kerjasama sejak Februari itu bertujuan memperluas capaian perlindungan keselamatan sosial kepada golongan suri rumah, khususnya dalam kalangan pelanggan wanita CBP,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Khairil Anuar berkata inisiatif kerjasama itu akan dilaksanakan melalui rangkaian cawangan CBP di seluruh negara yang berfungsi sebagai pusat rujukan penawaran dan sokongan kepada pelanggan.
“Selain itu, CBP merancang untuk menjalankan kempen promosi secara berterusan menerusi platform media sosial bagi memastikan mesej mengenai kepentingan perlindungan sosial kepada suri rumah dapat disebarkan secara meluas dan berkesan kepada semua lapisan masyarakat,” katanya.
SKSSR diwujudkan di bawah Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 bagi memberikan perlindungan kepada suri rumah yang mengalami kecederaan, penyakit atau keilatan semasa menguruskan rumah tangga.
Syarat kelayakan SKSSR ialah suri rumah warganegara Malaysia atau pemastautin tetap berusia 55 tahun ke bawah dengan manfaat perlindungan seperti faedah perubatan, faedah hilang upaya kekal, elaun keuzuran dan kemudahan pemulihan jasmani atau dialisis.
Caruman tahunan serendah RM120 boleh dibayar oleh diri sendiri, suami, ahli keluarga atau pihak ketiga menerusi bayaran pendahuluan untuk perlindungan selama setahun.