KUALA LUMPUR: China bersedia menandatangani protokol Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) sebaik semua dokumen berkaitan dimuktamadkan.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan menyatakan komitmen China itu sebagai perkembangan positif untuk ASEAN.
“China menyatakan komitmen untuk menandatangani perjanjian itu tanpa sebarang syarat. Itu merupakan satu perkembangan yang sangat positif untuk ASEAN,“ katanya kepada media selepas menghadiri Mesyuarat Pasca Persidangan Menteri-Menteri Luar ASEAN (PMC) bersama beberapa negara termasuk China, New Zealand, Australia dan Kanada.
Mesyuarat itu diadakan sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Menteri Luar China Wang Yi turut hadir memimpin delegasi negaranya.
Mohamad berkata, perbincangan dengan Wang Yi turut menyentuh pengukuhan hubungan dua hala dan pelbagai hala antara Malaysia dan China. Isu kebebasan pelayaran, ruang udara terbuka di Laut China Selatan, serta penghormatan terhadap UNCLOS turut dibincangkan.
“Semuanya berjalan dengan baik dan kita menjangkakan kerjasama lebih erat antara ASEAN dan China,“ ujarnya.
Pada 2 Julai lalu, Mohamad dilaporkan berkata China dan Rusia bersedia menandatangani protokol SEANWFZ, manakala Amerika Syarikat masih dalam proses meneliti perjanjian berkenaan.
Perjanjian SEANWFZ, atau Perjanjian Bangkok, ditandatangani pada Disember 1995 oleh negara anggota ASEAN sebagai komitmen menjadikan Asia Tenggara zon bebas senjata nuklear dan senjata pemusnah besar-besaran. Ia mula berkuat kuasa pada Mac 1997.
SEANWFZ merupakan salah satu daripada lima Zon Bebas Senjata Nuklear (NWFZ) di dunia, selain zon di Amerika Latin, Caribbean, Pasifik Selatan, Afrika, dan Asia Tengah. - Bernama