DUBAI: Sebanyak 118 negara pada Sabtu berikrar untuk meningkatkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui global sebanyak tiga kali ganda menjelang 2030 dan menggandakan kemajuan dalam kecekapan tenaga pada Persidangan ke-28 Pihak-Pihak (COP28) kepada Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Pada persidangan itu inisiatif Global Acceleration for Decarbonisation turut diumumkan, lapor Agensi Anadolu.

Antara negara-negara yang menandatangani komitmen itu adalah UAE, Amerika Syarikat, Brazil, Jepun, United Kingdom, Mexico, Poland, Jerman, Australia, Kanada, Denmark, Perancis, Kenya, Belanda, Nigeria dan Sepanyol.

Bagaimanapun, Turkiye, China, India dan Afrika Selatan belum berbuat demikian.

Kapasiti tenaga boleh diperbaharui global tiga kali ganda bermakna meningkatkannya daripada paras semasa iaitu 3.4 terawatt pada 2022 kepada 11 terawatt menjelang 2030.

Kedua-dua sasaran itu adalah antara lima langkah utama yang diumumkan oleh Agensi Tenaga Antarabangsa untuk menjayakan sidang kemuncak PBB.

Selain itu, dalam inisiatif berkenaan, 50 syarikat yang mewakili lebih 40 peratus pengeluaran minyak global menandatangani Oil and Gas Decarbonisation Covenant (OGDC).

Sebagai sebahagian daripada inisiatif itu, komitmen dibuat untuk menyediakan pembiayaan US$1 bilion untuk projek pengurangan pelepasan metana.

Presiden COP28 Ahmed Al Jaber semasa mengumumkan inisiatif itu menggesa lebih banyak negara menandatangani komitmen untuk meningkatkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui global dan menggandakan kemajuan dalam kecekapan tenaga.

Sambil menyifatkan pelancaran OGDC sebagai langkah hebat, Al Jaber berkata: “Walaupun banyak syarikat minyak negara mempunyai sasaran pelepasan sifar bersih untuk kali pertama pada tahun 2050, saya tahu bahawa mereka dan yang lain boleh melakukan lebih banyak lagi.”

“Seluruh sektor perlu menetapkan sasaran yang lebih kuat untuk mencapai peningkatan suhu global 1.5 darjah,“ katanya

Sementara itu, Ketua Dasar dan Projek Majlis Tenaga Angin Global, Joyce Lee berkata konsensus itu mencerminkan kepercayaan bahawa tiga kali ganda kapasiti tenaga boleh diperbaharui global menjelang 2030 adalah “penggalak paling berkesan” dalam memerangi perubahan iklim.

Lee menekankan keperluan untuk menggabungkan peningkatan kapasiti tenaga boleh diperbaharui dengan pemansuhan bahan api fosil secara beransur-ansur. - Bernama, Anadolu

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image