KUALA LUMPUR: Analisis menggunakan kecerdasan buatan (AI) terhadap 1.2 juta data kes jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan bahawa penyalahgunaan dadah merupakan faktor utama berlakunya jenayah serius di negara ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata tiga kesalahan utama di bawah Akta Dadah Berbahaya sering dikaitkan dengan jenayah lain.
“Data menunjukkan corak jenayah di negara ini, kalau kita ambil data berjumlah 1.2 juta, kita dapati tiga teratas ialah berkait dengan dadah,“ katanya.
Beliau menjelaskan bahawa individu yang terlibat dengan kesalahan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya berpotensi melakukan 31 jenayah lain, manakala mereka yang melanggar Seksyen 12(2) mungkin terlibat dalam 11 jenayah tambahan seperti rompakan dan ugutan.
Saifuddin Nasution menekankan bahawa penyelesaian isu dadah adalah kunci untuk mengurangkan jenayah di Malaysia.
“Jika ingin atasi jenayah di Malaysia, selesaikan (isu) pokok dan ibu kepada segala jenayah, iaitu penglibatan pelaku dalam jenayah dadah,“ ujarnya.
Kerajaan kini merangka dasar dan strategi lebih mantap berdasarkan analisis AI untuk membanteras jenayah berkaitan dadah.
Selain itu, langkah ini juga diharap dapat mengurangkan kesesakan di penjara, di mana majoriti banduan adalah mereka yang terlibat dalam kesalahan dadah.
KDN turut melatih pegawai dalam bidang AI di institusi seperti UKM, UiTM, dan MIMOS Berhad bagi meningkatkan penggunaan teknologi dalam pengurusan jenayah. – Bernama