KUALA LUMPUR: Dakwaan bahawa kepimpinan tertinggi MCA mendapat tekanan untuk meninggalkan gabungan Barisan Nasional (BN) selepas 72 tahun bersama hanya khabar angin sengaja dicipta oleh kalangan tertentu.

Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong dan Setiausaha Agungnya Datuk Chong Sin Woon telah memaklumkan perkara itu tidak berlaku.

“MCA telah membuat kenyataan itu hanyalah khabar angin yang cuba dicipta oleh kalangan tertentu,“ katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Cheras di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya sentiasa mengadakan Mesyuarat Majlis Tertinggi BN bersama semua parti komponen dan tiada masalah yang melibatkan parti yang ingin keluar atau memasuki gabungan itu.

Zambry yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata malah parti-parti gabungan itu sentiasa bersama termasuk dalam hal berkaitan politik yang dibincangkan secara terbuka.

Media melaporkan MCA menafikan dakwaan itu dan Sin Woon dilaporkan berkata tiada sebarang perbincangan dibuat mengenai perkara itu dalam kalangan kepimpinan tertinggi parti.

Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan tentang terdapat tekanan yang semakin meningkat dalam MCA untuk meninggalkan BN.

Dalam pada itu, Zambry berkata usaha membina hubungan baik antara parti komponen Pakatan Harapan (PH) dan BN bukan sahaja memerlukan masa tetapi juga program tertentu menerusi kerjasama mantap.

Ditanya mengenai usul Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Alor Setar hari ini menuntut kerusi Parlimen Alor Setar dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasan itu untuk ditandingi parti berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), Zambry berkata ia adalah terlalu awal untuk diputuskan.

Beliau menjelaskan bahawa pandangan seperti ini kerap timbul bukan sahaja di Alor Setar tetapi juga di kawasan lain, melibatkan UMNO serta parti komponen lain dan rakan-rakan BN.