KOTA BELUD: Dua lelaki cedera ditembak akibat disangka rusa ketika mencari herba tumbuh-tumbuhan di kawasan kebun di Kampung Gaur, di sini pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Belud Supt Shahrudin Mat Husain berkata pihaknya menerima maklumat kejadian daripada Unit Kecemasan Hospital Kota Belud pada 3.08 pagi.

“Pihak hospital memaklumkan terdapat dua pesakit yang diberikan rawatan dipercayai terkena tembakan. Susulan kejadian ini, polis menahan seorang lelaki berusia 45 tahun dan merampas selaras senapang patah buatan sendiri ‘bakakuk’ bersama satu kelongsong peluru bagi membantu siasatan.

“Siasatan lanjut mendapati, ketika kedua-dua mangsa dan suspek masuk ke kebun sebelum berpecah...suspek yang membawa senjata berkenaan telah melepaskan tembakan ke arah mangsa yang disangkakan seekor rusa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kedua-dua mangsa mengalami kecederaan di bahagian perut, paha serta kaki dan dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

“Siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dibaca beraama Seksyen 37 akta yang sama. Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali,“ katanya.

Shahrudin turut menasihatkan orang awam supaya tidak menyimpan atau memiliki senjata api tanpa lesen yang sah.