KUALA LUMPUR: Draf pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) telah mendapat kelulusan Jabatan Peguam Negara (AGC), kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.
Beliau berkata draf berkenaan telah diedarkan kepada kementerian serta agensi berkaitan untuk mendapatkan ulasan dan akan dikemukakan kepada Jemaah Menteri bagi kelulusan.
“Cadangan pindaan Akta 588 termasuk pindaan kepada Seksyen 233 dihasratkan untuk dibentangkan di Parlimen dalam mesyuarat kali ini tertakluk kepada kelulusan Jemaah Menteri,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) mengenai pelan kementerian untuk mengkaji dan memperkemas Seksyen 233 Akta 588 bagi memastikan skop dan penggunaannya tidak memberi ruang disalahgunakan.
Teo berkata Kementerian Komunikasi telah menjalankan sesi libat urus cadangan pindaan Akta 588 bermula tahun lepas termasuk bersama Majlis Peguam dan ahli-ahli Parlimen pada 8 Ogos tahun ini antaranya untuk membincangkan cadangan penambahbaikan Seksyen 233 berhubung penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian.
Teo berkata dalam usaha memastikan peruntukan Seksyen 233 selari dengan perkembangan semasa, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) juga proaktif menjalankan sesi libat urus melibatkan pihak berkepentingan, seperti pemain industri, kementerian dan agensi kerajaan Persekutuan dan negeri serta organisasi bukan kerajaan.
Beliau berkata maklum balas daripada sesi libat urus itu diambil kira dalam memuktamadkan cadangan pindaan Akta 588 dengan penelitian dan kajian terperinci telah dilaksanakan MCMC dan Kementerian Komunikasi bagi memastikan skop dan penggunaannya adalah lebih jelas dan tidak disalahgunakan.
Selain itu, Kementerian Komunikasi dan MCMC mengadakan beberapa mesyuarat penyelarasan dengan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri (BHEUU) bagi memastikan tiada pertindihan antara Rang Undang-Undang Keselamatan Dalam Talian (ONSA) dengan peruntukan-peruntukan di bawah Akta 588 termasuk dalam konteks pemakaian Seksyen 233.
“Kementerian Komunikasi bersama-sama kementerian lain yang berkaitan akan meneliti dengan sewajarnya keperluan sama ada untuk meminda dan menambah baik undang-undang sedia ada atau mewujudkan undang-undang baharu bagi mengekang aktiviti memudaratkan dalam talian,” katanya.
Sementara itu, Teo berkata aspek semak dan imbang sangat penting untuk memastikan Seksyen 233 tidak disalahgunakan dan pihak mahkamah yang akhirnya akan menentukan sebarang kes itu wajar dijatuhkan hukuman atau dilepaskan.
“Siasatan boleh dijalankan MCMC dan boleh juga dijalankan PDRM (Polis Diraja Malaysia), tetapi selepas itu kami akan hantar kertas siasatan kepada AGC yang akan buat keputusan sama ada kes didakwa di mahkamah atau hanya beri amaran.
“Akhirnya, kita juga ada hakim-hakim di mahkamah untuk jatuhkan hukuman atau lepaskan OKT (orang kena tuduh). Saya rasa, perkara ini merupakan build in system untuk pastikan apa-apa kuasa diberikan kepada penguat kuasa tidak disalahgunakan,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau) mengenai langkah kementerian untuk memastikan tiada pelanggaran undang-undang atau ketidakadilan menerusi Akta 588.