MELAKA: Dua kanak-kanak perempuan dipercayai adik-beradik yang terperangkap dalam kebakaran di sebuah bilik sewa bangunan empat tingkat di Jalan Plaza Mahkota di sini meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Melaka hari ini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 tengah hari itu, pada mulanya dua kanak-kanak berkenaan Nur Riaisha Zahra Abdullah, 2, dan Nuralia Karisa Abdullah, 12, bersama ibu mereka Azliha Ngah Ariffin, 40, ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh anggota bomba di tingkat tiga bangunan rumah kedai itu.

Beliau berkata Azliha yang sedang menerima rawatan di Hospital Melaka kini dalam keadaan kritikal, dan usaha mengesan waris keluarga berkenaan sedang giat dilakukan.

“Dua lagi penyewa bilik di tingkat dua bangunan itu yang merupakan pasangan suami isteri berada dalam keadaan stabil selepas berjaya menyelamatkan diri sebelum dibawa ke hospital sama.

“Kebakaran itu disedari pemilik kedai di tingkat bawah yang juga pemilik bilik sewa di bangunan berkenaan kira-kira pukul 1.30 petang sebelum menghubungi talian 999 bagi mendapatkan bantuan kecemasan,“ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Christopher berkata 40 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Bukit Katil, BPP Melaka Tengah dan BPP Ayer Keroh dengan bantuan empat jentera termasuk satu jentera Aerial Ladder Platform (ALP) terlibat dalam operasi memadam kebakaran dan menyelamatkan mangsa, selain turut dibantu tiga ambulans Bulan Sabit Merah dan Hospital Melaka.

Beliau berkata siasatan awal mendapati terdapat 21 bilik sewa melibatkan tingkat satu hingga tiga di bangunan empat tingkat itu, dan hanya enam daripada bilik itu mempunyai penyewa, namun ketika kejadian hanya ada lima penghuni termasuk tiga beranak itu.

Punca kematian dua beradik itu dan punca kebakaran masih dalam siasatan.