KOTA BHARU: Dua lelaki tempatan ditahan ketika cuba menyeludup 40 tan beras putih dalam satu serbuan bersepadu di Simpang Empat Kampung Manjor, Jalan Kuala Krai-Gua Musang, dekat Kuala Krai semalam.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata kedua-dua suspek, masing-masing berusia 23 dan 27 tahun ditahan sekitar 8.45 malam oleh anggota Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan dengan kerjasama Kawal Selia Padi dan Beras Negeri Kelantan.

Beliau berkata tangkapan itu dilakukan dalam Operasi Bersepadu Taring Wawasan selepas pasukan penguat kuasa menahan sebuah treler yang membawa muatan mencurigakan.

“Pemeriksaan lanjut ke atas treler berkenaan menemukan beras putih dalam jumlah besar yang dibawa tanpa sebarang dokumen pengesahan.

“Kedua-dua suspek dibawa ke Balai Polis Laloh, Kuala Krai untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras 1994,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Yusoff berkata jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM550,050 dan kini dalam proses sitaan oleh pihak Kawal Selia Padi dan Beras Negeri Kelantan.

Beliau berkata maklumat risikan mendapati sindiket berkenaan dipercayai dikendalikan oleh seorang individu dari Kuala Lumpur dan ini merupakan rampasan kedua dalam tempoh dua hari dengan modus operandi yang serupa.

“Tindakan pantas ini membuktikan komitmen berterusan pihak berkuasa dalam membanteras aktiviti penyeludupan yang dilihat cuba untuk bergerak semula di negeri ini,” katanya.