GEORGE TOWN: Dua lelaki yang menyebabkan kecederaan kepada seorang anggota polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang pada Ahad lepas akan didakwa di mahkamah esok.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Abdul Rozak Muhammad mengesahkan kertas siasatan telah siap dan arahan pendakwaan dikeluarkan.
Suspek berusia 19 dan 20 tahun itu ditahan selepas kejadian dan direman selama tiga hari.
Mereka disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.
Kejadian berlaku sekitar 4.30 petang ketika anggota polis berusia 30 tahun sedang bertugas.
Dua lelaki yang berada dalam keadaan mencurigakan ditahan di hadapan pintu pagar IPK sebelum dibawa ke pos pengawal untuk pemeriksaan.
“Kedua-dua suspek berada di bawah pengaruh alkohol dan bertindak agresif, menumbuk pipi serta menggigit dada anggota polis sehingga menyebabkan kecederaan di mata kiri dan lebam di dada,“ kata Abdul Rozak.
Mereka juga dilaporkan mengeluarkan kata-kata kesat kepada anggota berkenaan.