Your Title

TANGKAK: Dua pekerja tempatan maut manakala tujuh yang lain cedera selepas sebuah mesin meletup di kilang pembuatan dan pemprosesan getah di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Tangkak Supt Roslan Mohd Talib berkata mangsa, lelaki berusia 45 dan 50 tahun itu telah dibawa ke hospital di Tangkak dan Muar untuk menerima rawatan, sebelum disahkan meninggal dunia.

Beliau berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira 2 petang dan dipercayai berlaku ketika mesin tersebut sedang diselenggara pekerja.

“Ketika kerja penyelenggaraan sedang dibuat ke atas lima mesin yang beroperasi, satu daripadanya meletup dan mengakibatkan sembilan pekerja terbabit cedera parah.

“Dua daripada mereka meninggal dunia sementara tujuh yang lain termasuk tiga pekerja warga asing masih mendapatkan rawatan di zon merah Hospital Pakar Sultanah Fatimah di Muar,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata siasatan dijalankan mengikut kes laporan mati mengejut.