GEORGE TOWN: Dua lelaki mengalami kerugian lebih RM1 juta selepas masing-masing menjadi mangsa sindiket penipuan pelaburan dalam talian, baru-baru ini.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata dalam kes pertama pada 12 Jun lepas, seorang lelaki berusia 55 tahun yang juga pesara sebuah syarikat swasta di Perai mendakwa telah ditipu sindiket pelaburan dalam talian oleh sbeuah syarikiat dikenali Freeman Ltd hingga mengakibatkan kerugian RM827,120.

“Mangsa telah melihat satu iklan pelaburan menawarkan pulangan keuntungan tinggi melalui Facebook dan berhubung dengan suspek wanita melalui aplikasi WhatsApp pada April lepas.

“Melalui pelaburan itu mangsa ditawarkan pulangan tujuh peratus bagi setiap modal dilaburkan. Mangsa yang tertarik telah diminta memuat turun aplikasi Freeman Ltd untuk mendaftar sebagai ahli dan membuat pelaburan melalui platform tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata mangsa telah melakukan 22 transaksi pemindahan wang ke enam akaun bank yang berbeza dalam tempoh 19 April hingga 26 Mei.

“Mangsa menyedari telah ditipu apabila gagal membuat pengeluaran keuntungan dipaparkan dalam aplikasi pelaburan berjumlah RM23,241,952 lalu tampil membuat laporan polis,” katanya.

Sementara itu, Hamzah berkata dalam satu lagi kes membabitkan pesara juruteknik kilang kerugian RM321,250 selepas diperdaya sindiket pelaburan dalam talian dikenali Demax Global.

Beliau berkata mangsa berusia 56 tahun itu telah tertarik melihat iklan pelaburan menawarkan keuntungan tinggi melalui Instagram sebelum berhubung dengan suspek wanita melalui aplikasi WhatsApp dengan jaminan pulangan 30 peratus bagi setiap jumlah modal dilaburkan dalam tempoh tiga bulan.

“Mangsa yang berminat diminta memuat turun aplikasi Demax Global bagi tujuan mendaftar sebagai ahli dan membuat pelaburan. Pada 21 Mac lepas, mangsa telah membuat pemindahan wang pertama berjumlah RM20,000 melalui aplikasi tersebut,” katanya.

Beliau berkata mangsa telah menerima pulangan sebanyak RM14,150 dalam tempoh kurang tiga bulan yang mendorongnya membuat penambahan pelaburan melalui 11 transaksi pemindahan wang pada 27 Mac hingga 3 Jun lepas ke empat akaun bank berbeza milik syarikat berkenaan.

“Mangsa sedar telah ditipu apabila tidak dapat mengeluarkan keuntungan berjumlah RM280,000 selain suspek turut meminta mangsa membuat bayaran caj pengeluaran sebanyak RM120,000,” katanya.

Hamzah berkata siasatan lanjut masih dijalankan dan kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.