• 2025-07-08 06:46 PM

KUALA LUMPUR: Empat lelaki dan seorang wanita warga Vietnam didakwa di Mahkamah Majistret Ampang hari ini atas kesalahan mengedar dadah di sebuah kondominum bulan lepas.

Mereka terdiri daripada tiga lelaki warga Taiwan, seorang wanita Vietnam, dan seorang lelaki tempatan.

Menurut pertuduhan, empat daripada mereka iaitu Lu Jui Tse, Chang Heng Pin, Yee Wei Keh, dan Do Thi Thanh Thanh didakwa bersama mengedar kokain seberat 2,767 gram di sebuah kondominum di Jalan Nipah pada 25 Jun lepas.

Sementara itu, Hsu Chia Kuei didakwa atas dua pertuduhan berasingan iaitu mengedar MDMA dan kokain.

Tiada pengakuan direkodkan daripada mana-mana tertuduh memandangkan kes ini berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan.

Hsu turut didakwa atas kesalahan memiliki kanabis seberat 40.68 gram.

Kesemua tertuduh diwakili peguam, manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya.

Mahkamah menetapkan tarikh sebutan kes bagi laporan kimia pada 22 dan 23 September ini.

Media sebelum ini melaporkan polis berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM21.85 juta dalam dua serbuan di kondominium yang dijadikan makmal haram di sekitar Ampang. – Bernama