• 2025-09-24 10:04 PM

GEORGE TOWN: Polis menahan empat individu termasuk sepasang suami isteri dan merampas 7,130.40 gram dadah jenis metilena dioksiamfetamina (MDMA) bernilai RM1.1 juta dalam serbuan di sini.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail berkata serbuan di empat lokasi sekitar George Town itu dilaksanakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri bermula 9 malam Isnin hingga 9 pagi semalam.

Beliau menyatakan penahanan tiga lelaki dan seorang wanita warga tempatan berusia 30 hingga 33 tahun itu berjaya membongkar kegiatan pengedaran serta stor proses dadah MDMA.

“Dalam siri serbuan termasuk di sebuah kondominium, polis merampas enam paket plastik hitam (69.4g), tiga beg plastik (2,901g) dan tiga botol MDMA seberat 4,160g,” menurutnya.

Azizee memaklumkan siasatan mendapati sindiket itu didalangi pasangan suami isteri yang merupakan peniaga dan mendapat bekalan daripada rangkaian sindiket.

Dadah yang dibungkus semula itu diedarkan untuk pasaran di pusat hiburan di Pulau Pinang.

Sindiket tersebut dipercayai aktif menjalankan kegiatan pembungkusan dan pengedaran MDMA sejak awal tahun ini.

Mereka juga disyaki hidup mewah hasil daripada kegiatan jenayah tersebut.

Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengesan rangkaian sindiket pengedaran dadah itu.

Kuantiti MDMA yang dirampas itu boleh digunakan oleh 50,000 penagih dadah.

Ujian air kencing mendapati seorang daripada suspek positif dadah.

Semakan rekod pula mendedahkan tiga lelaki yang ditahan mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Polis turut menyita lima kenderaan termasuk Lexus, Perodua Myvi, Toyota Altis, sebuah motosikal serta barangan kemas bernilai RM417,325.

Keempat-empat suspek kini direman lima hari sehingga 27 September bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – Bernama