ALOR SETAR: Enam kontraktor didenda oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan memalsukan penyata akaun bank syarikat untuk melayakkan mereka mendapatkan tender pembersihan awam pada 2019.

Hakim Harmi Thamri Mohamad menjatuhkan hukuman itu terhadap Zulhilmi Abdul Jabar, 43, Mohd Yusrizal Ismail, 43, Muhamad Hairi Md Ismail, 38, Ranzi Halim, 51, Muhammad Amir Che Azib, 36, dan Badaruddin Mohamad, 40.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM50,000 masing-masing terhadap kesemua tertuduh itu dan sekiranya gagal membayar denda, mereka boleh dipenjara enam bulan.

Kesemua tertuduh masing-masing mempunyai satu pertuduhan.

Mengikut pertuduhan itu, kesemua mereka masing-masing dituduh dengan curangnya menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu penyata akaun bank syarikat bagi bulan Oktober, November dan Disember 2018 dalam permohonan tender Penswastaan ​​Pengumpulan Sisa Pepejal dan Pengurusan Pembersihan Awam di Wilayah Utara.

Mereka didakwa mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen itu adalah palsu dan kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Wisma Idaman, Environment Idaman (Kedah&Perlis) di sini antara 1 hingga 22 Jan 2019.

Keenam-enam mereka didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama iaitu memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rehab Abdul Shukur manakala Zulhilmi, Mohd Yusrizal dan Muhammad Amir diwakili Peguam Intan Nursyafina Baharudin dan Peguam Syed Fakhruzzaman Syed Mansor mewakili Muhamad Hairi, Ranzi dan Badaruddin.

Kesemua tertuduh kemudian membayar denda masing-masing. - Bernama