MELAKA: Pameran buku terbesar di dunia iaitu Ensiklopedia Sirah Nabi SAW (Inilah Muhammad) berukuran selebar lima meter dan tinggi 8.05 meter yang dianugerahkan Guinness World Records antara tarikan utama terdapat di Ekspo Al-Quran dan Produk Seni yang berlangsung di Replika Kapal Cheng Ho, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata kerajaan negeri menyokong penuh penganjuran ekspo al-Quran seumpama itu agar usaha memartabatkan syiar Islam dan pembangunan ummah yang sejahtera terus diperkasa.

“Prinsip memartabatkan agama memainkan peranan yang signifikan khususnya kepada generasi muda agar sentiasa berpegang teguh keimanan kepada al-Quran semasa menghadapi sesuatu krisis.

“Saya percaya, usaha-usaha seperti penganjuran program ini juga dapat menyemai nilai positif, mengimbangi keperluan warga Melaka yang mendambakan pengisian program yang mampu menghidup dan mendidik rohani,“ katanya ketika berucap merasmikan ekspo itu di sini malam tadi.

Hadir sama Exco Pembangunan Wanita Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Nordin dan Pengerusi Eksekutif Yayasan Restu Datuk Abdul Latiff Mirasa.

Mengulas lanjut Ab Rauf berkata kerajaan negeri turut berbesar hati apabila Yayasan Restu memilih untuk bertapak di Melaka sebagai destinasi cawangannya bagi Wilayah Selatan.

Menurutnya ia secara tidak langsung menyumbang kepada pembangunan agama Islam di samping melaksanakan inisiatif yang mengagungkan Kitabullah untuk disebar luas kepada seluruh masyarakat khususnya di Melaka.

Pada ekspo yang berlangsung selama 10 hari sehingga 14 Julai ini, terdapat 10,000 naskhah buku terbitan Yayasan Restu dengan tawaran diskaun 20 peratus dijual kepada pengunjung.

Open Two Websites with Image

Clickable Image