• 2025-07-24 04:34 PM

GEORGE TOWN: Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPPP) mengumumkan perkhidmatan feri percuma kepada rakyat Malaysia pada 31 Ogos serta 15 dan 16 September ini sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

Pengerusi SPPP Datuk Yeoh Soon Hin berkata inisiatif ini adalah sebagai sokongan terhadap pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, terutamanya berkenaan hari kelepasan am tambahan sempena Hari Malaysia yang akan diadakan di Pusat Konvensyen PICCA, Butterworth pada 16 September.

“Perkhidmatan feri percuma ini menunjukkan komitmen SPPP sebagai Pihak Berkuasa Pelabuhan dan Penang Port Sdn Bhd (PPSB) sebagai operator pelabuhan dalam menggalakkan penggunaan pengangkutan awam semasa sambutan perayaan penting,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Yeoh turut menyatakan bahawa langkah ini dapat membantu meringankan beban rakyat Malaysia.

Beliau juga menyambut baik usaha kerajaan dalam memperkenalkan inisiatif strategik yang bukan sahaja mengurangkan kos sara hidup, malah menghargai semangat perpaduan rakyat.

Semalam, Anwar mengumumkan beberapa inisiatif utama sebagai tanda penghargaan Kerajaan MADANI, termasuk pemberian RM100 di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA), penangguhan kenaikan tol bagi 10 lebuh raya, dan penetapan harga RON95 pada RM1.99 seliter.

Beliau turut mengisytiharkan 15 September sebagai hari kelepasan am tambahan bagi meraikan semangat perpaduan dalam pembentukan Malaysia. – Bernama