Filem Mat Kilau suntik semangat rakyat Malaysia bebaskan negara daripada cengkamaN Covid-19

PADANG BESAR: Mesej yang dibawa dalam filem Mat Kilau membawa makna yang besar tentang kesusahan para pejuang kemerdekaan membebaskan negara daripada cengkaman penjajah, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin.

“Dalam konteks hari ini, pengorbanan rakyat Malaysia bersama membantu kerajaan memerangi Covid-19 juga dikira sebagai satu perjuangan yang besar kepada negara,“ katanya kepada pemberita di sini malam ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Padang Besar meluangkan masa bersama penduduk Padang Besar dan kawasan sekitarnya menyaksikan wayang pacak filem Mat Kilau yang disiarkan secara percuma sempena Karnival Merdeka Keluarga Malaysia@ Padang Besar.

“Filem ini juga menyuntik kembali semangat patriotik semua lapisan masyakat Keluarga Malaysia,“ katanya.

Beliau berkata filem ini dinanti-nantikan oleh semua rakyat Perlis memandangkan tiada pawagam di sini.

Katanya sekiranya terdapat permintaan, beliau akan berusaha melakukan kerjasama dengan pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bagi membuat tayangan wayang pacak pada masa akan datang.

Zahidi berkata Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) akan mengadakan kerjasama dengan pihak Indonesia bagi menghasilkan filem genre sejarah berikutnya.

“Menteri Komunikasi dan Multimedia (MENKOM) akan membuat lawatan ke Indonesia pada 18 Ogos ini bagi membincangkan kerjasama bagi filem sejarah.

Filem tersebut mengenai kerjasama Ratu Jawa, Aceh dan Johor berjaya mengalahkan penjajah yang dilihat sebagai satu filem yang dapat menyuntik semangat patriotik kedua selepas filem Mat Kilau,“ katanya.

Kira-kira 1,600 orang pengunjung hadir menyaksikan wayang pacak filem Mat Kilau yang ditayangkan oleh FINAS. - Bernama