PUTRAJAYA: Seorang lelaki warga Itali ditahan selepas didapati mencuri ubat bernilai RM75.42 dari sebuah kedai kesihatan dan kecantikan terkemuka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 di Sepang, semalam.

Ketua Polis Daerah KLIA ACP Azman Shari’at berkata dalam insiden jam 5.20 petang itu suspek berusia 58 tahun didapati mengambil barang itu sebelum beredar dari premis itu tanpa membuat pembayaran.

Katanya seorang pekerja premis menyedari suspek mengambil sekotak ubat Fluimucila bernilai RM45.90 dan sekotak ubat Gaviscon bernilai RM29.52 sebelum beredar tanpa membuat pembayaran.

Beliau berkata pekerja berkenaan menyemak rakaman kamera litar tertutup di premis tersebut sebelum membuat laporan polis.

“Pengadu telah memaklumkan kepada pengurus kedai dan telah diarahkan untuk buat laporan polis. Berdasarkan maklumat dan dipandu arah oleh pengadu, pegawai penyiasat bersama anggota detektif telah menangkap suspek yang sedang berada di Aras 2, KLIA T2,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, pihaknya berjaya merampas semula semua barangan itu bersama satu beg berwarna kelabu dan suspek ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana curi dalam bangunan.