KUALA LUMPUR: Portal Fraud Kebangsaan, sebuah platform berasaskan teknologi yang bertujuan mengesan, mengesahkan dan menjejaki aktiviti penipuan yang dilaporkan kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC), dilancarkan hari ini.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata NFP mampu melonjakkan strategi negara dalam memerangi penipuan dalam talian dengan mengubah proses NSRC yang sebelum ini dikendalikan secara manual dan banyak memakan masa.

“NFP adalah platform automasi utama di rantau ini, yang menyediakan akses keselamatan kepada pangkalan data utama yang menyokong usaha pembanterasan penipuan, di samping memberikan ahli NSRC kebolehan dinamik untuk mengesan dan menghalang aktiviti penipuan.

“Portal tersebut akan mengintegrasikan data transaksi kewangan daripada pelbagai sumber untuk mengesan transaksi mencurigakan secara automatik dan memudahkan pengesahan oleh institusi terlibat,‘’ katanya ketika berucap merasmikan Portal Fraud Kebangsaan (NFP), di Sasana Kijang hari ini.

Beliau berkata malah sejak di peringkat rintis lagi, NFP telah mengurangkan masa untuk menjejaki transaksi penipuan hingga 75 peratus.

Beliau menambah NFP juga disokong oleh akses kepada data berkaitan akaun keldai daripada seluruh industri kewangan.

“Saya difahamkan dengan data dan analisis ini, kadar pengesanan pemegang akaun keldai telah meningkat 14 peratus.

“Protokol ini juga menyelaraskan pendekatan industri dalam membantu pemegang akaun yang menjadi mangsa, supaya mereka tidak terus dinafikan daripada mendapat akses kepada perkhidmatan kewangan asas,“ katanya.