Your Title

KUALA LUMPUR: Sabah FC memberi hadiah perpisahan sempurna buat pengendalinya Datuk Ong Kim Swee selepas membelasah PT Athletic FC 4-0 pada aksi Piala Malaysia 2024/2025 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras hari ini.

Skuad Badak yang bermula garang membuka tirai jaringan menerusi Saddil Ramdani pada minit ke-12 hasil rembatan kencang dalam kotak penalti yang terbias sebelum menewaskan penjaga gol PT Athletic Nik Mohd Amin Ahmad.

Enam minit kemudian, Sabah FC menggandakan asakan dan kerja keras itu diterjemahkan kepada gol hasil jaringan Muhammad Danial Haqim Draman.

Sabah FC hampir melebarkan jurang gol ketika babak pertama berbaki 10 minit, namun rembatan kencang Darren Lok dari dalam kotak penalti sekadar menggegar palang gol PT Athletic.

Bersambung babak kedua, PT Athletic memperoleh gol hasil umpanan Azeez Arisekola Adam yang disempurnakan kapten pasukan Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-57, namun jaringan itu dinafikan hasil semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) yang mendapati berlakunya ofsaid.

Daniel Ting bijak memanfaatkan keadaan kucar-kacir di kawasan gol PT Athletic untuk meledak gol ketiga Sabah FC pada minit ke-75.

Sabah FC melengkapkan kemenangan 4-0 hasil jaringan gol sendiri pemain PT Athletic Muhammad Yusri Yuhasmadi pada masa kecederaan.

Khamis lepas, Kim Swee mengumumkan untuk tidak lagi bersama pasukan Sabah FC apabila kontraknya berakhir hujung bulan ini, sekali gus menjadikan aksi pertama pusingan 16 terakhir saingan Piala Malaysia ini sebagai perlawanan terakhir beliau selaku pengendali Sabah FC.

Perlawanan kedua antara Sabah FC dan PT Athletic dijadualkan pada 27 Nov ini, juga di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.