• 2025-06-27 04:04 PM

GUA MUSANG: Hanya 20 peratus projek ladang hutan mendapat kelulusan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) sejak 2020 dan telah pun memulakan operasi, manakala selebihnya belum beroperasi.

Pengarah JAS Kelantan Wan Aminordin Wan Kamarudin berkata laporan EIA itu melibatkan kajian sosioekonomi penduduk di sekitar kawasan aktiviti, justeru pemaju perlu membuat pelaporan terlebih dahulu sebelum memulakan operasi.

“Mana-mana aktiviti pembangunan yang dijalankan di kawasan hutan simpan Kelantan melebihi keluasan 100 hektar perlu mengemukakan laporan EIA.

“Laporan EIA ini penting bagi mengenal pasti kawasan terjejas, termasuk kesan terhadap tandak air, keselamatan penduduk, kebun, dan lain-lain perkara berkaitan komuniti susulan pembangunan sama ada perladangan hutan atau perlombongan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program 4Xplore Teroka Alam: Legasi Di Bumi Kita Bersama Rakan Alam Sekitar sempena sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia 2025 peringkat negeri Kelantan di Pos Pulat di sini.

Wan Aminordin berkata laporan kajian EIA melibatkan ulasan dan pandangan pelbagai agensi antaranya Jabatan Perhutanan, Pejabat Tanah dan Galian (PTG), serta Jabatan Kesihatan Negeri.

“Kita menetapkan syarat yang perlu dipatuhi, antaranya pemaju perlu menyediakan langkah kawalan seperti kolam perangkap mendap dan memasang infrastruktur yang boleh mengelakkan berlakunya hakisan di kawasan pembangunan dijalankan,” katanya.

Beliau berkata pada tahun lepas JAS telah mengeluarkan perintah larangan terhadap sebuah syarikat perlombongan di Gua Musang dan mengarahkannya memberhentikan operasi serta-merta.

Pada 18 Dis tahun lepas, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam mengeluarkan arahan henti kerja perlombongan kepada dua syarikat yang dikhuatiri menyebabkan pencemaran di Sungai Kelaik, Pos Blau, berdasarkan siasatan JAS terhadap pematuhan kedua-dua syarikat kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127).

Air Sungai Kelaik sebelum ini dilaporkan tercemar dengan sisa pembuangan daripada kilang perlombongan bijih besi.