KUALA LUMPUR: Ho Hup Construction Company Bhd (Ho Hup Construction) telah mungkir terhadap kemudahan kredit pusingan berjumlah RM45.27 juta, hingga mendorong tindakan undang-undang diambil oleh AmBank Islamic Bhd (AIB).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata ia menerima notis tuntutan dan penamatan bertarikh 29 Mei, 2025, daripada Lee & Koh yang bertindak bagi AIB, berhubung kemudahan kredit tersebut pada 4 Jun, 2025.
Katanya, jumlah belum bayar itu mewakili 13.37 peratus aset bersih milik Ho Hup berjumlah RM338.48 juta berdasarkan keputusan teraudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2023 dan 31.97 peratus daripada laporan aset bersih terkini sebanyak RM141.60 juta.
“Kemungkiran pembayaran ini timbul kerana kegagalan syarikat membayar bayaran ansuran ke atas prinsipal dan faedah susulan masalah aliran tunai,” katanya.
Pada 18 April, 2025, syarikat itu diklasifikasikan dalam terbitan senarai Nota Amalan 17 (PN17) dan kini berada di bawah perintah sekatan.
“Syarikat merancang untuk berunding dengan AIB dan pemiutang lain berhubung cadangan penstrukturan semula hutang bagi menyelaraskan kembali kedudukan kewangan.
“Bagi tujuan ini, syarikat telah melantik penasihat kewangan bebas untuk berunding dengan pemiutang,” katanya.