Your Title

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan hukuman penjara lapan tahun yang dikenakan ke atas empat warga Indonesia kerana menyeludup 37 warga Bangladesh ke Malaysia dua tahun lepas.

Rayuan Zainal Lampe, 45, Rosli Kitan, 43, Rusli Genep, 40, dan Ajiman Rahman, 36, untuk mengurangkan hukuman ditolak oleh panel tiga hakim.

Panel yang terdiri daripada Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azhahari Kamal Ramli mengesahkan hukuman penjara lapan tahun yang dikenakan ke atas empat lelaki itu oleh Mahkamah Tinggi.

Dalam menyampaikan keputusan mahkamah Hakim Ahmad Zaidi berkata hukuman penjara lapan tahun adalah dalam lingkungan trend hukuman bagi kesalahan seumpama itu.

“Perayu gagal menunjukkan bahawa hukuman penjara yang dikenakan ke atas mereka adalah melampau,” katanya.

Pada 17 Okt 2022 empat lelaki itu mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi atas kesalahan berkenaan dan dihukum penjara lapan tahun. Mereka diperintahkan untuk mula menjalani hukuman penjara dari tarikh penangkapan pada 1 Julai 2022.

Mereka kemudiannya membuat rayuan bagi mengurangkan tempoh hukuman penjara lapan tahun di Mahkamah Rayuan.

Mengikut kertas pertuduhan mereka secara tidak sah menyeludup 37 warga Bangladesh secara haram menaiki bot tidak berdaftar ke perairan Malaysia kira-kira 1.1 batu nautika dari Kuala Sepang Kechil, Selangor pada 12.10 tengah malam 1 Julai 2022.

Keempat-empat mereka yang tidak diwakili peguam memohon pengurangan hukuman penjara dengan alasan beban hukuman itu terlalu berat dan perlu menanggung kehidupan anak masing-masing.

Timbalan Pendakwa Raya Eyu Ghim Siang berhujah bahawa hukuman penjara yang dikenakan ke atas empat lelaki itu adalah adil, selaras dengan trend hukuman bagi kesalahan seumpama itu yang melibatkan tempoh penjara tujuh hingga 10 tahun.

Beliau berkata penyeludupan 37 pendatang ke negara ini menimbulkan kebimbangan besar mengenai keselamatan negara.