MOSCOW: Hutang tertunggak Google di Rusia melonjak kepada 27.2 bilion ruble (US$348 juta) sejak awal 2025, menurut data Perkhidmatan Bailif Persekutuan Rusia yang diperoleh RIA Novosti.
Pada Februari lalu, hutang itu berjumlah lebih 21.5 bilion ruble, dan sejak itu pihak bailif Rusia telah memulakan 11 prosiding penguatkuasaan terhadap syarikat tersebut.
Hutang besar itu berpunca daripada beberapa siri denda yang dikenakan oleh mahkamah Rusia ke atas syarikat teknologi berpangkalan di Amerika Syarikat itu susulan pelbagai pelanggaran berulang. Pada penghujung 2021, Google menjadi syarikat pertama yang didenda di bawah Perkara 13.41 Bahagian 5 Kod Pentadbiran Rusia dengan jumlah 7.2 bilion ruble, yang dikira berdasarkan peratusan daripada perolehan tahunan Google di Rusia.
Denda kedua berjumlah 21.7 bilion ruble dikenakan ke atas syarikat itu kerana gagal memadamkan kandungan palsu mengenai operasi ketenteraan khas Rusia. Pada penghujung 2024, Google sekali lagi didenda sebanyak 4.6 bilion ruble kerana berulang kali enggan memadamkan kandungan palsu berkaitan konflik Ukraine daripada YouTube.