ALOR GAJAH: Seorang wanita berusia 24 tahun dan teman lelakinya yang berumur 20 tahun direman selama tujuh hari bermula hari ini oleh Mahkamah Majistret Alor Gajah.
Mereka disyaki terlibat dalam kes penderaan ke atas bayi perempuan berusia 15 bulan sehingga menyebabkan kematian.
Kejadian itu dilaporkan berlaku di sebuah premis kedai di Bandar Satelit, Pulau Sebang.
Menurut sumber, wanita tersebut membawa mangsa ke Hospital Tampin dalam keadaan tidak sedarkan diri sekitar pukul 11 malam semalam.
Bayi itu kemudian disahkan meninggal dunia.
Pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan lebam pada bahagian perut, belakang badan, dan dubur bayi tersebut. Keadaan ini mendorong pihak hospital membuat laporan polis bagi siasatan lanjut.
Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar mengesahkan menerima laporan kejadian dan memaklumkan bahawa siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan berkaitan kes bunuh. - Bernama