• 2025-07-09 05:38 PM

DUNGUN: Kesempitan hidup memaksa seorang ibu tunggal menggunakan wang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) anaknya untuk membeli barang dapur dan menampung perbelanjaan harian.

Zailawati Ismail, 41, dari Kampung Felda Jerangau, berkata kehidupan keluarganya berubah selepas suaminya, Ramli Mat Rahim, meninggal dunia dua tahun lalu akibat kemalangan ketika bekerja.

Wanita yang menghidap endometriosis kronik itu terpaksa menggunakan wang pinjaman PTPTN anak sulungnya, Nur Aina Najiha Ramli, 19, yang sedang belajar di sebuah kolej swasta di Kuantan, Pahang.

Wang itu digunakan untuk membeli keperluan harian dan kos perjalanan ke hospital.

“Saya tidak dapat melakukan kerja berat selepas disahkan endometriosis kronik enam tahun lepas. Semua pergerakan dan keupayaan saya terbatas,“ katanya.

Keluarga itu kini hanya bergantung pada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 sebulan.

Namun, jumlah itu tidak mencukupi kerana Zailawati mempunyai dua lagi anak yang masih bersekolah.

Anak lelakinya, Mohd Aiman Haikal, 16, terpaksa mencari upah selepas sekolah dengan memotong rumput dan mengait kelapa sawit untuk membantu keluarga.

Baru-baru ini, anak bongsunya, Nur Alia Batrisya, 12, patah kaki kiri selepas terjatuh ketika bermain bola jaring di sekolah.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Zailawati di talian 013-9332122. – Bernama