IPOH: Hasil bedah siasat ke atas mayat seorang daripada dua pendaki wanita yang dihanyutkan kepala air semasa mendaki di Gunung Suku, Simpang Pulai di sini, 15 Mei lepas mengesahkan mangsa ialah Ng Yee Chew, 46, iaitu mayat kedua yang ditemukan pada Sabtu lepas.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid (gambar) berkata mayat disahkan berdasarkan pemadanan ciri-ciri fizikal gigi dan rekod rawatan pergigian mangsa oleh pakar forensik pergigian Hospital Kuala Lumpur di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini semalam.

“Punca kematian mangsa diklasifikasikan sebagai ‘pelbagai kecederaan berikutan tanah runtuh’ dan mayat diserahkan kepada waris petang semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Mior Faridalathrash berkata laporan perbandingan cap jari bagi anggota tubuh manusia yang disyaki milik seorang lagi pendaki menunjukkan kesan cap jari yang ditimbulkan itu tidak dikesan dalam rekod Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Negara.

Bagaimanapun beliau berkata pihak siasatan akan menghantar semua spesimen asid deoksiribonukleik (DNA) manusia yang dikumpulkan oleh Jabatan Forensik HRPB sepanjang operasi mencari dan menyelamat (SAR) ke Jabatan Kimia untuk analisis bagi mengesahkan identiti.

Pada 16 Mei lepas, pasukan SAR menemukan sebahagian dan cebisan anggota tubuh manusia yang merupakan milik See Su Yen, 32 manakala mayat kedua yang ditemukan pada Sabtu lepas ialah Ng.

Kedua-dua wanita itu yang berasal dari Cheras, Kuala Lumpur dan Klang, Selangor dipercayai dihanyutkan arus deras dalam kejadian pada 5 pagi, 15 Mei lepas. - Bernama