KUALA LUMPUR: Seramai 67 pendatang tanpa izin dan tiga warga tempatan ditahan menerusi Ops Gegar di sebuah pusat hiburan di Seri Edaran Light Industrial Park, Kepong, di sini malam tadi.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata mereka yang ditahan terdiri daripada 57 wanita dan 10 lelaki, terdiri daripada 46 warga Thailand, lapan warga Bangladesh, lima warga Laos, empat warga Vietnam, dua warga Myanmar, dan masing-masing seorang dari China dan India.

Dalam operasi yang bermula pada pukul 11.30 malam itu, turut ditahan tiga warga tempatan, dua wanita dan seorang lelaki.

“Semua warga asing yang ditahan didapati melakukan pelbagai kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

“Siasatan awal mendapati warga asing ini masuki negara sebagai pelancong menggunakan pas sosial tetapi menyalahgunakan pas tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Mohammed Saupee berkata tiga warga tempatan yang ditahan pula disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63.

Beliau berkata kesemua warga asing yang berusia lingkungan 25 hingga 50 tahun itu dibawa ke Depot Imigresen Bukit Jalil untuk tindakan lanjut.