• 2025-07-24 10:34 AM

KUALA LUMPUR: Institusi fatwa perlu bergerak secara kolektif dan memastikan fatwa yang dikeluarkan adalah hasil daripada analisis mendalam serta pandangan pakar yang berkelayakan. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan perkara itu semasa pertemuan dengan Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang hari ini.

“Tanggungjawab mengeluarkan fatwa adalah tugas yang luhur dan penting dalam menjawab serta menjelaskan hukum demi pencerahan dan kefahaman umat,“ kata Anwar menerusi hantaran di Facebook. Beliau menekankan bahawa fatwa perlu selari dengan realiti semasa dan menyelesaikan isu-isu terkini bagi manfaat masyarakat.

Pertemuan itu turut membincangkan perkembangan ilmu dalam bidang fiqh, maqasid syariah, serta usaha memperkukuhkan penyelidikan berkaitan fatwa. Anwar berkata, “Umat perlukan fatwa yang menepati realiti setempat dan juga zaman selain mewujudkan kemahiran baharu untuk berinteraksi dengan permasalahan dan isu semasa.” - Bernama