KUALA LUMPUR: Pengarah Urusan Kumpulan Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim mencipta sejarah menjadi rakyat Malaysia pertama menerima Anugerah Kepimpinan Terbilang pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Pameran (EEA) 2025 di Navi Mumbai, India.

WTCKL dalam kenyataan hari ini memaklumkan acara yang diadakan di Pusat Pameran & Konvensyen CIDCO pada 31 Mei itu meraikan tokoh-tokoh utama dalam sektor Mesyuarat, Insentif, Konvensyen dan Pameran (MICE) serta Acara Perniagaan (BE).

“Komitmen berterusan Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim dalam menerajui masa depan industri BE serta usahanya menetapkan penanda aras baharu untuk pertumbuhan berterusan telah diiktiraf menerusi anugerah ini,” menurut kenyataan itu.

Anugerah berkenaan disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Ekspo Antarabangsa Baharu Shanghai (SNIEC) Michael Kruppe bagi mengiktiraf kepimpinan transformasi Irmohizam dan peranan penting dalam membentuk semula masa depan industri.

Dianjurkan oleh Exhibition Showcase, platform anugerah industri terbesar di India itu mengiktiraf sumbangan wira industri MICE dan BE yang tidak didendang.

“Saya amat berbesar hati menerima anugerah berprestij ini kerana ia mencerminkan semangat dan komitmen saya yang tidak berbelah bahagi terhadap pertumbuhan dan transformasi industri BE.

“Saya berharap pada masa hadapan kita dapat membina sebuah ekosistem yang lebih berdaya tahan, inovatif dan inklusif demi memperkasakan pemain industri untuk berjaya dan berkembang dalam landskap global yang sentiasa berubah,” kata Irmohizam yang dipetik dalam kenyataan itu.

Irmohizam yang menganggotai Lembaga Persatuan Pusat Dagangan Dunia (WTCA) turut dipuji atas visi dan impaknya dalam menjadikan Malaysia sebagai hab utama acara perniagaan di rantau Asia dan peringkat antarabangsa.

Penerima anugerah lain termasuk Pengasas dan Pengerusi Kumpulan IMEX Ray Bloom, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) Mala Dorasamy serta Ketua Pegawai Operasi UFI - Persatuan Industri Pameran Global Adeline Vancauwelaert.

WTCKL turut merakamkan ucapan tahniah kepada Irmohizam atas pencapaian bersejarah itu, sambil menyifatkan dedikasinya sebagai sumber inspirasi kepada industri.