PUTRAJAYA: Jalan raya di sekitar kawasan core island Putrajaya akan ditutup kepada kenderaan persendirian mulai 6 petang 29 Ogos sehingga tamat perbarisan sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata penutupan itu bagi membolehkan persiapan terakhir dilakukan untuk sambutan Hari Kebangsaan tahun ini yang akan berlangsung di Dataran Putrajaya.
Beliau berkata raptai penuh sambutan yang akan diadakan pada 27 hingga 29 Ogos bermula 6 pagi hingga 11 pagi turut melibatkan penutupan jalan sepanjang sesi raptai dijalankan.
“Bagi mereka yang mempunyai urusan di kawasan Putrajaya khasnya di kawasan terbabit diingatkan untuk merancang perjalanan dengan baik,” katanya pada majlis peluncuran Kempen Denyut Nadi Merdeka anjuran Prasarana Malaysia Bhd sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68 dan Hari Malaysia di sini hari ini.
Fahmi, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025, berkata persediaan sambutan berjalan lancar dengan penglibatan pelbagai pihak termasuk pelajar sekolah yang terlibat dalam pembentukan grafik manusia serta latihan kontinjen perbarisan.
Beliau turut mengalu-alukan kehadiran orang ramai untuk memeriahkan sambutan pada 31 Ogos dan mengibarkan Jalur Gemilang sebagai lambang kebanggaan terhadap negara.
“Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh rasa bangga dan turut serta dalam pelbagai program sempena Bulan Kebangsaan yang dianjurkan sepanjang Ogos ini sehingga ke sambutan Hari Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Amir berkata perkhidmatan rel Rapid KL, Bus Rapid Transit (BRT) Laluan Sunway, beberapa laluan bas serta zon Rapid KL On-Demand (ROD) terpilih akan beroperasi tanpa henti bermula 6 pagi 30 Ogos hingga 11.30 malam 31 Ogos ini bagi memastikan kelancaran pergerakan orang ramai.
Beliau berkata bagi perkhidmatan bas tambahan pula, 86 laluan melibatkan 235 unit bas akan beroperasi pada malam Ambang Merdeka manakala pada Hari Kebangsaan, jumlahnya ditingkatkan kepada 100 laluan dengan 308 unit bas bagi menampung keperluan orang ramai.
Bagi perkhidmatan ROD, Amir berkata 20 unit van disediakan merangkumi lima zon dari Stesen Putrajaya Sentral serta satu zon di Daerah Pusat Perniagaan dan tempahan boleh dibuat melalui aplikasi MyRapid PULSE dengan kadar bayaran RM1.
“Dengan lebih 5,000 kakitangan barisan hadapan, kami yakin perkhidmatan tahun ini lebih lancar dan selamat... kami berharap rakyat Malaysia dapat memanfaatkan kemudahan ini serta hadir beramai-ramai menghayati semangat kemerdekaan,“ katanya. – Bernama