IPOH: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak menghantar pulang 94 pendatang tanpa izin dari Depoh Tahanan Imigresen (DTI) Langkap di sini ke negara asal masing-masing, hari ini.

Pengarahnya Meor Hezbullah Meor Abd Malik berkata penghantaran pulang itu melibatkan 81 lelaki, 12 wanita dan seorang kanak-kanak melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang setelah kesemua mereka selesai menjalani hukuman.

“Rata-rata mereka didapati dengan munasabah telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen1963 serta diputuskan pemindahan ke negara asal di bawah akta dan peraturan yang sama,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Meor Hezbullah berkata kesemua pendatang tanpa izin itu turut disenarai hitam bagi mencegah mereka memasuki semula ke negara ini.

Beliau berkata penghantaran pulang pendatang tanpa izin merupakan sebahagian aktiviti berterusan melalui penguatkuasaan yang dijalankan JIM bagi tahanan di DTI Langkap.