JKDM lelong 236 kenderaan bernilai lebih RM3 juta

KOTA BHARU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan berjaya melelong 236 kenderaan yang telah dilucut hak bernilai lebih RM3 juta, tahun lepas.

Pengarah JKDM Kelantan Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata daripada jumlah itu, sebanyak 141 kenderaan bernilai RM2.87 juta yang boleh didaftar dan masih berkeadaan baik dilelong secara terbuka menerusi tiga siri jualan tender bersepadu.

Beliau berkata sebanyak 95 kenderaan pula yang tidak boleh didaftarkan dan tidak boleh digunakan membabitkan nilai RM274,384 dilelong melalui dua siri sebut harga terbuka.

“Kenderaan yang dilelong ini adalah kenderaan tanpa permit import (AP) dari negara jiran untuk pasaran di dalam negara yang kebiasaannya harga yang ditawarkan jauh lebih rendah daripada harga pasaran semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Wan Jamal Abdul Salam, kenderaan tersebut dipasarkan kepada rakan terdekat dan terdapat juga iklan yang disiarkan melalui media sosial seperti Facebook.

Beliau berkata ada sebahagian kenderaan berkenaan digunakan untuk menjalankan aktiviti penyeludupan rokok.

“Kenderaan-kenderaan yang terlibat di dalam aktiviti tersebut akan dilucut hak di bawah Seksyen 128(1) Akta Kastam 1967,” katanya. - Bernama