JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor menyasarkan untuk membantu menyelesaikan sembilan projek perumahan sakit dan terbengkalai, tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata tujuh projek sakit dianggarkan bernilai RM 412.93 juta itu, membabitkan Taman Sri Molek Perdana, Taman Residensi Larkin Indah dan Taman Pelangi di sini, Taman Permata Layang di Simpang Renggam, Taman Sri Saujana di Kota Tinggi, Taman Sri Unas Permai di Muar dan Taman Impiana Kulai.

Beliau berkata dua projek perumahan terbengkalai pula ialah Taman Kulai Utama dan Taman Permata Impian di Kulai, dengan anggaran nilai RM18.37 juta.

“Kesemua sembilan projek tersebut membabitkan pembinaan 2,314 unit rumah dan kedai,” katanya selepas lawatan ke projek perumahan sakit di Taman Sri Molek Perdana di sini, hari ini.

Mohd Jafni berkata kerajaan negeri komited dalam memastikan semua projek perumahan terbabit dapat dipulihkan, agar pembeli tidak terbeban selepas terpaksa menunggu lama akibat masalah teknikal dan pemaju.

Terdahulu Mohd Jafni yang melawat projek sakit Taman Sri Molek Perdana menjelaskan, projek di bawah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) itu dijadualkan siap sepenuhnya dan akan diserahkan kepada pemilik pada Ogos atau September ini.

Beliau berkata projek perumahan yang terbengkalai sejak lebih 10 tahun lepas itu, kini hanya membabitkan fasa terakhir di blok rumah pangsa kos sederhana rendah Blok D dan rumah pangsa kos rendah Blok E.

“Kini dalam proses akhir teknikal bagi mendapatkan Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) bagi dua blok berkenaan, sebelum menyerahkan kunci. Ini melibatkan pelbagai pihak dan akan selesaikan dalam tempoh dua bulan ini.

“Saya mengucapkan terima kasih atas bantuan semua pihak termasuk Tenaga Nasional Berhad (TNB), Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan banyak agensi yang selesaikan isu dalam masa dua tahun, selepas kontraktor ketiga dilantik,” katanya.