PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengenakan tindakan tegas serta-merta terhadap seorang anggotanya yang didakwa memandu kenderaan jabatan secara tidak wajar dan membahayakan pengguna jalan raya lain di Simpang Pulai, Perak.
Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli mengesahkan bahawa anggota terbabit telah dikenakan notis saman atas kesalahan memotong di garisan berkembar.
Selain itu, anggota tersebut juga dilarang memandu kenderaan jabatan dan digantung tugas sementara ditempatkan di jawatan kumpulan di Ibu Pejabat JPJ sehingga siasatan selesai.
“JPJ tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak, termasuk kakitangan sendiri, yang melanggar undang-undang jalan raya. Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti kesalahan lain yang mungkin dilakukan,” jelas Aedy Fadly dalam kenyataan rasmi.
Kejadian ini menjadi tular selepas sebuah video 12 saat menunjukkan kenderaan JPJ cuba memotong sebuah lori di garisan berkembar, mengancam keselamatan pengguna jalan raya.
JPJ turut menggesa orang ramai melaporkan sebarang kesalahan trafik secara langsung melalui Aplikasi MyJPJ e-aduan\@jpj atau emel [aduantrafik@jpj.gov.my](mailto:aduantrafik@jpj.gov.my) dengan menyertakan butiran lengkap. – Bernama