KOTA BHARU: Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan menyediakan khidmat pengurusan penjagaan kucing secara bergerak yang dikenali sebagai “Vetcare Mobile” kepada pemilik kucing di negeri ini.

Timbalan Pengarahnya Mohd Ridzuan Sulaiman berkata inisiatif itu diperkenalkan bagi memberi kemudahan kepada pemilik kucing, selain memberi khidmat nasihat dan perubatan terhadap haiwan peliharaan mereka.

“Untuk permulaan kita akan tempatkan van ini di program-program tertentu sebelum kita bergerak dari rumah ke rumah mengikut permintaan pelanggan dengan tawaran harga yang sangat berpatutan.

“Klinik bergerak ini menyediakan perkhidmatan perapian kucing manakala untuk rawatan lanjut dan pembedahan akan dilakukan di klinik veterinar seluruh negeri ini,“ katanya kepada pemberita pada Program Sambutan Hari Veterinar Peringkat Kelantan di Kompleks Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan di sini hari ini.

Mohd Ridzuan berkata pemilik kucing boleh menghubungi nombor telefon yang tertera pada van berkenaan bagi mendapatkan perkhidmatan yang disediakan dan berpeluang menghantar kucing masing-masing ke hotel kucing di Pejabat Veterinar jajahan Kota Bharu dan Bachok.