• 2025-07-27 01:15 PM

MUAR: Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) yang diadakan sempena Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 terus mendapat sambutan hangat daripada orang ramai. Ratusan pengunjung membanjiri lokasi jualan seawal pagi untuk mendapatkan barangan keperluan harian pada harga yang jauh lebih rendah berbanding pasaran.

Antara barangan yang menjadi tumpuan ialah ayam segar, minyak masak peket, dan telur. Ramai pengunjung berpuas hati kerana dapat menjimatkan perbelanjaan harian. “Harga ayam RM6.50 sekilogram jauh lebih murah berbanding di pasar biasa yang kadangkala mencecah RM8 sekilo,“ kata Norazilah Aman@Ahmad, 42, seorang suri rumah dari Sungai Abong.

Abdul Nasir Ali, 68, bekas pemandu lori dari Rawang, Sungai Mati, berkata dia berjaya menjimatkan hampir RM70 dengan membeli barangan keperluan di PJRM. “Kalau ada program begini, saya pasti datang. Rugi kalau tak ambil peluang,“ katanya.

Hadijah Abdul Rahman, 47, dari Pagoh Jaya pula menyatakan program ini membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat, terutama golongan kurang berkemampuan. “Barang yang ditawarkan lengkap, dari sayur hingga bahan basah dan kering. Rakyat boleh berjimat dengan harga lebih murah,“ ujarnya.

Selain jualan rahmah, karnival ini turut menampilkan pelbagai aktiviti seperti pertandingan mewarna, Bintang Suara MADANI, serta persembahan kebudayaan. Reruai usahawan Komuniti MADANI dan perkhidmatan agensi kerajaan serta swasta turut menjadi tarikan utama pengunjung.- BERNAMA