KANGAR: Kadar pengangguran di Perlis adalah pada 2.0 peratus atau 2,400 orang pada suku pertama 2024 berdasarjan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) dimaklumkan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sumber Manusia Perlis Asrul Aimran Abd Jalil berkata rekod Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi pencari kerja di Portal MYFutureJobs bagi tempoh Januari hingga 5 Julai lepas, turut mencatatkan sejumlah 2,400 pencari kerja dari Perlis.
Beliau berkata kerajaan negeri sentiasa berusaha merangsang pasaran buruh di negeri itu bagi mengurangkan kadar pengangguran melalui beberapa inisiatif antaranya menyediakan platform pencarian pekerjaan dalam Portal MYFutureJobs.
“(Selain itu) Membangunkan Sistem Carrier Bridge Tool berteraskan kaedah dalam talian yang membantu menghubungkan graduan TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) termasuk siswazah dengan pekerjaan sepadan mengikut kelayakan mereka...sebanyak 452 kekosongan jawatan aktif diiklankan di negeri Perlis.
“(Seterusnya) Membangunkan Sistem Wage Guide yang berperanan untuk membantu graduan TVET mengenal pasti dan mengukur potensi sekali gus membuat keputusan tepat dalam pilihan kerjaya mereka,” katanya menjawab soalan Fakhrul Anwar Ismail (PN-Bintong) dalam sesi soal jawab persidangan DUN itu di sini hari ini.
Fakhrul Anwar ingin tahu kadar pengangguran terkini di Perlis yang direkodkan dan langkah diambil serta program yang disusun bagi mengurangkan kadar pengangguran itu serta sejauh mana impak keberhasilan program itu.