Your Title

KUANTAN: Seorang kanak-kanak perempuan Orang Asli mati lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam sungai di Kampung Simoi Lama, Pos Lenjang Kuala Lipis semalam.

Ketua Polis Daerah Lipis Supt Ismail Man berkata pihaknya menerima laporan daripada petugas Klinik Kesihatan Pos Betau berhubung kejadian itu pada 4.55 petang.

Beliau berkata siasatan awal mendapati Carissa Laura Arthini Jasni yang berumur setahun 10 bulan terjatuh ke dalam sungai yang berada kira-kira 100 meter dari rumahnya.

Menurut Ismail ketika kejadian, ibu mangsa beranggapan Carissa Laura Arthini pergi ke rumah datuknya yang terletak di belakang rumah mereka.

“Mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh seorang penduduk kampung dalam jarak lebih kurang 30 meter dari lokasi dia dikatakan terjatuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Lipis untuk bedah siasat.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Lipis di talian 09-3121999 atau balai polis berhampiran.