Your Title

BACHOK: Kebakaran tanah gambut di sekitar Kampung Beris Lalang dan Kampung Beoh, di sini, sejak tiga minggu lepas menimbulkan ketidakselesaan kepada penduduk terutama yang mengalami masalah kesihatan.

Kebanyakan penduduk mengambil pendekatan tidak membuka sebarang tingkap bagi mengurangkan kemasukan asap dan habuk ke dalam rumah masing-masing.

Penduduk Kampung Beoh, Rashidah Ab Razak, 53, berkata beberapa saudara-maranya termasuk warga emas dan kanak-kanak kerap mengalami selesema sejak kebakaran berlaku.

“Keadaan ini bukan perkara baharu bagi penduduk di sini, cuma kesannya lebih terasa dalam cuaca panas ketika ini dan sebagai langkah berjaga-jaga, kami menutup semua tingkap rumah.

“Kanak-kanak dan warga emas terutamanya mudah terkesan dengan situasi ini. Ada yang mengalami selesema berminggu-minggu kesan daripada menghidu udara tidak bersih dalam tempoh yang panjang,“ katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Peniaga, Faizal Zainudin, 22, berkata kebanyakan penduduk sanggup menggunakan laluan alternatif berbanding laluan yang mengalami kebakaran biarpun jaraknya agak jauh.

“Biasanya penduduk yang menggunakan motosikal cuba mengelak melalui laluan yang terbakar kerana tidak tahan dengan bau asap yang kuat, memedihkan mata dan menyesakkan nafas,“ katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan Mohd Wildan Azhari berkata pihaknya sentiasa memberi tumpuan kepada isu kebakaran tanah gambut di negeri ini setiap kali tibanya peralihan monsun.

Beliau berkata bomba sentiasa bersiap siaga mengawal kebakaran tanah gambut dengan kekuatan anggota dan aset yang ada.

“Kawasan tanah gambut yang berisiko terbakar memang dalam senarai tumpuan pihak kami, cuma untuk musim panas dan menjelang hari raya ini, kami gandakan kesiapsiagaan,“ katanya.

Mohd Wildan berkata terdapat 65 kejadian kebakaran hutan, lalang dan belukar direkodkan di Bachok bermula 3 Mac lepas hingga hari ini.

Beliau menasihatkan orang awam supaya berhati-hati dengan tidak melakukan pembakaran terbuka bagi mengelak kejadian tidak diingini. - Bernama