KOTA BHARU: Kelantan akan membangunkan Taman Perindustrian Sistem Binaan Berindustri (IBS) pertama seumpamanya di negara ini sekali gus menjadi pusat rujukan setempat bagi meningkatkan kapasiti dan keupayaan industri pembinaan khususnya di pantai Timur.

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata taman perindustrian itu dibangunkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dengan peruntukan lebih RM70 juta dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 24 bulan.

“Taman Perindustrian IBS ini merupakan satu daripada inisiatif di bawah Program Kecemerlangan IBS di Kelantan yang akan dibangunkan di tanah berkeluasan 200 ekar (80 hektar) di Sungai Bagan, Machang yang telah disumbangkan oleh kerajaan Kelantan,“ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan Kelantan dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) bagi usahasama membangunkan Taman Perindustrian IBS itu di sini hari ini.

MoU itu ditandatangani Setiausaha Kerajaan Kelantan Datuk Nazran Muhammad dan Ketua Eksekutif CIDB Datuk Ahmad ‘Asri Abdul Hamid dengan disaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.

Dalam pada itu, Fadillah berkata melalui MoU berkenaan, ia akan memperkukuhkan jaringan ekosistem IBS di Malaysia seterusnya dapat meningkatkan bilangan pemain industri tempatan serta usahawan kecil dan sederhana (SMEs).

“Malah, dengan pembangunan Taman Perindustrian IBS ini akan membuka 3,500 peluang pekerjaan kepada penduduk pantai Timur khususnya Kelantan,“ katanya.

Beliau berkata pemain industri juga bakal menerima manfaat sekali gus dapat memperkasakan industri pembinaan terutama melalui penggunaan teknologi IBS.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata teknologi IBS secara menyeluruh dapat membantu dalam pelbagai projek pembinaan termasuk projek perumahan kerana ia mampu mengurangkan kos perbelanjaan malah menghasilkan binaan rumah yang berkualiti dengan harga berpatutan. — Bernama