• 2025-06-24 08:27 PM

LAHAD DATU: Kemajuan fizikal Pakej 20 Lebuh Raya Pan Borneo Sabah di sini masih rendah dengan hanya 1.6 peratus walaupun projek itu diluluskan melalui surat setuju terima (SST) hampir lapan bulan lalu, kata Timbalan Ketua Menteri III Datuk Shahelmey Yahya.

Menteri Kerja Raya Sabah itu berkata kerja-kerja tertumpu pada proses penilaian tanah dan rumah terlibat, yang sedang dijalankan, menjadi faktor utama kelewatan kerja fizikal di tapak.

Beliau mengarahkan kontraktor dan semua pihak terlibat mengambil langkah proaktif bagi memastikan pembangunan pakej berjalan lancar.

“Walaupun masih mengikut jadual kontrak, peratusannya agak rendah,“ katanya selepas meninjau pembangunan Pakej 20 hari ini.

Pakej 20 merupakan sebahagian Lebuh Raya Pan Borneo Sabah Fasa 1B dengan tempoh pembinaan 36 hingga 48 bulan, melibatkan Jajaran South East antara Tawau ke Lahad Datu.

Shahelmey turut mengarahkan kontraktor mengenal pasti lokasi yang tidak terjejas isu pengambilan tanah supaya kerja pembersihan dan pembentukan jajaran dapat diteruskan.

“Sekurang-kurangnya lebih satu kilometer kerja pembersihan telah dimulakan, dan saya harap kemajuan ini dapat ditingkatkan,“ katanya.

Beliau juga menekankan kepentingan penyelenggaraan jalan sedia ada serta pengurusan trafik yang baik sepanjang tempoh pembinaan.