PUTRAJAYA: Kerajaan dan Polis Diraja Malaysia diberi kebenaran untuk merayu di Mahkamah Rayuan terhadap perintah Mahkamah Tinggi supaya membayar ganti rugi sebanyak RM197,600 berhubung kematian seorang penggali kubur semasa dalam tahanan polis, lima tahun lepas.

Kebenaran merayu itu diberikan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, Datuk Azman Abdullah dan Mohamed Zaini Mazlan.

Hakim Che Mohd Ruzima, semasa menyampaikan keputusan mahkamah berkata terdapat isu mengenai ganti rugi dan liabiliti di bawah undang-undang berkaitan yang masih belum diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.

Beliau berkata isu-isu itu memerlukan hujah lanjut dan keputusan Mahkamah Rayuan mengenainya akan memberi manfaat kepada orang ramai.

Hakim itu mengarahkan kerajaan dan polis memfailkan notis rayuan mereka dalam tempoh dua minggu.

Jabatan Peguam Negara memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran mahkamah setelah ganti rugi yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi di Pulau Pinang adalah kurang daripada RM250,000.

Mengikut Seksyen 68 Akta Mahkamah Kehakiman, perayu tidak mempunyai hak rayuan automatik apabila jumlah penghakiman di bawah RM250,000.

Pada 20 Mei lepas, Mahkamah Tinggi memutuskan kematian lelaki itu (Mohd Fadzrin Zaidi) yang berusia 29 tahun ketika itu berpunca daripada kecuaian polis yang gagal mencegahnya membunuh diri.

Mahkamah mendapati polis dan kerajaan bertanggungjawab dan memerintahkan mereka membayar RM197,600 sebagai ganti rugi dan kos kepada keluarga lelaki itu.

Ganti rugi yang diberikan termasuk RM57,600 kos tanggungan, RM30,000 kos kehilangan nyawa, RM50,000 ganti rugi teruk, ganti rugi khas RM10,000 dan RM50,000 kos guaman.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Anand Ponnudurai memutuskan bahawa polis telah melanggar tanggungjawab menjaga lelaki itu, dengan gagal melakukan rondaan biasa yang mungkin menghalang kematiannya.

Lelaki itu ditahan semasa serbuan dadah pada 2019 dan kemudian ditemukan tergantung di dalam selnya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara.

Pada 2022, ibunya memfailkan saman terhadap sembilan defendan termasuk Ketua Polis Negara, ketua polis Pulau Pinang, ketua dan anggota polis IPD Seberang Perai Utara serta kerajaan Malaysia.

Dalam prosiding hari ini, Peguam Kanan Persekutuan Nur Ezdiani Roleb dan Syafiq Affendy Hassan mewakili kerajaan dan polis manakala peguam Sanjay Nathan dan Pushan Qin Nathan mewakili ibu lelaki itu.