• 2025-07-02 08:53 PM

PUTRAJAYA: Kementerian Komunikasi kini dalam proses menyelaraskan dana bagi Majlis Media Malaysia (MMM) untuk memastikan ia dapat disediakan dalam masa terdekat.

Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil, menyatakan bahawa satu pertemuan akan diadakan bersama 12 anggota Lembaga Pengasas MMM bagi urusan berkaitan.

Fahmi berkata, beliau telah mengadakan pertemuan dalam talian dengan Lembaga Pengasas MMM dan akan diikuti dengan pertemuan fizikal.

“Memandangkan ada dalam kalangan wakil (MMM) yang bukan semua berada di Lembah Klang, maka kita akan cari masa bersesuaian untuk menjemput semua,“ katanya dalam sidang media hari ini.

Sebelum ini, Fahmi mengumumkan bahawa Lembaga Pengasas MMM terdiri daripada 12 individu mewakili empat kategori iaitu syarikat media, persatuan media, pengamal media, dan ahli bukan media.

Akta Majlis Media Malaysia mula berkuat kuasa pada 14 Jun 2025 bersempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA). MMM akan berperanan sebagai badan kawal selia kendiri bagi memastikan etika kewartawanan dipatuhi dan industri media diperkasakan.

Dalam perkembangan lain, Fahmi memaklumkan bahawa Jemaah Menteri telah diberitahu mengenai pelaksanaan Op Kesan 4.0, yang dijalankan seiring dengan pelaksanaan semakan kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST). Beliau menyeru orang ramai membuat aduan sekiranya terdapat kenaikan harga tidak berpatutan.

Selain itu, Kementerian Kesihatan (KKM) diminta untuk peka dengan cuaca panas semasa Monsun Barat Daya. Fahmi menasihati orang ramai agar sentiasa mengikuti pengumuman Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).