KUCHING: Kementerian Pengangkutan Sarawak sedang memantau keadaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) susulan insiden sebuah pesawat tentera tergelincir di landasan dalam kejadian pagi tadi, hingga menyebabkan semua operasi penerbangan tergendala sementara waktu.
Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Seri Lee Kim Shin berkata pihak Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah menguruskan kerja pemindahan pesawat serta pembersihan landasan secepat mungkin.
“Kami memantau situasi ini dan bekerjasama dengan semua pihak berkaitan untuk memastikan landasan dapat dibersihkan segera bagi membolehkan semua penerbangan yang terjejas dapat disambung semula dengan selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menasihati penumpang untuk menyemak status penerbangan dengan syarikat penerbangan masing-masing
Kejadian berlaku pada 11.30 pagi apabila pesawat pengangkut jenis CN-235 milik TUDM tergelincir ketika mendarat hingga menyebabkan semua operasi penerbangan komersial dihentikan sementara dan laluan beberapa penerbangan domestik terpaksa diubah sebagai langkah keselamatan.
Terdahulu, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menerusi laman Facebook memaklumkan berikutan insiden itu, landasan di KIA ditutup sementara bagi membolehkan kerja-kerja mengalihkan pesawat milik TUDM dan pembersihan landasan dijalankan.
Notis kepada Anak Kapal Udara (NOTAM) telah dikeluarkan dan penutupan itu berterusan hingga 3 petang tadi, dan sepanjang tempoh penutupan landasan, semua operasi penerbangan di lapangan terbang itu telah terjejas.
Pihak lapangan terbang akan memberikan maklumat sebaik landasan diisytiharkan selamat dan dibuka semula untuk operasi penerbangan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).