KUALA LUMPUR: Proton New Energy Technology Sdn Bhd (PRO-NET) melancarkan fasa ujian tempatan yang menyeluruh untuk kenderaan elektrik (EV) sulung pengeluar kereta nasional itu, Proton e.MAS 7.

PRO-NET, anak syarikat milik penuh Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (Proton) dalam satu kenyataan hari ini berkata fasa ini melibatkan enam unit Proton e.MAS 7 yang dipandu oleh jurutera pakar Proton merentasi setiap pelusuk Semenanjung Malaysia.

Menurut syarikat itu, ujian tersebut bertujuan untuk memastikan kenderaan berkenaan memenuhi keperluan persekitaran yang khusus di Malaysia dan mengesahkan ketahanan, kebolehsuaian, serta kesesuaiannya dengan permintaan pasaran tempatan.

Proses ujian itu merangkumi Ujian Ketahanan Adaptif (DAT), Ujian Jalanan Elektrikal (ERT), Ujian Sistem Bantuan Pemandu (ADAS) dan Ujian Kebolehpercayaan Kualiti (QRT) serta penambahbaikan yang berterusan pada sistem navigasi, Digital Head Unit (DHU) dan Penyedia Sistem Telematik (TSP).

“Setakat ini, jurutera Proton telah menjalankan simulasi DAT yang dapat membaca faktor persekitaran dan corak lalu lintas unik di Malaysia manakala sistem navigasi dalam kereta telah diperinci dengan teliti untuk menggambarkan peta jalan raya Malaysia dengan tepat.

“Kami juga mengoptimumkan penangkapan frekuensi radio untuk stesen tempatan, memfokuskan laluan luar bandar, kawasan pergunungan serta stesen kereta api untuk menguji sambungan rangkaian internet,” katanya.

PRO-NET berkata ia juga telah menyesuaikan komponen perisian utama, memastikan sistem DHU dapat menterjemah bahasa asal pasaran China ke dalam Bahasa Inggeris dengan tepat dan disesuaikan dengan tetapan tempatan, bukan hanya sekadar bergantung pada terjemahan umum.

“Usaha kolaborasi antara PROTON dan Geely ini membuktikan bahawa Proton e.MAS 7 bukan sekadar kenderaan yang ditukar jenama, tetapi merupakan kenderaan yang benar-benar berjiwa Malaysia.

“Ujian ketahanan kenderaan termasuk penyelesaian masalah dan pemeriksaan sistem yang ketat, bagi memastikan daya ketahanan kenderaan mengikuti spesifikasi tempatan,” kata syarikat itu.

Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET Zhang Qhiang berkata ujian tempatan ini menandakan langkah besar ke arah penghasilan kenderaan yang bukan sahaja mewakili kemajuan teknologi tetapi juga menunjukkan komitmen syarikat dalam memenuhi keperluan khusus pasaran di Malaysia.

“Pasukan kami komited bagi memastikan Proton e.MAS 7 memenuhi piawaian tertinggi dalam kualiti dan kebolehpercayaan, seterusnya membuka jalan untuk pelancarannya,“ katanya.

Proton e.MAS 7 akan menjalani akreditasi Program Penilaian Kereta Baharu bagi Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN NCAP) bagi memastikan tahap keselamatan tertinggi untuk penumpang.

Selain itu, kereta tersebut juga akan melalui QRT untuk mencapai 100,000 kilometer dalam ujian pecutan, prestasi brek dan penggunaan kuasa.

“Proton e.MAS 7 bukan sekadar model global biasa. Ia direka dengan teliti untuk memenuhi dan melangkaui jangkaan pemandu Malaysia,” kata syarikat itu.