the sun malaysia ipaper logo 150x150
Saturday, July 4, 2026
33.2 C
Kuala Lumpur
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Kepengerusian 2025: Malaysia promosi ASEAN sebagai destinasi timbang tara – Azalina

KUALA LUMPUR: Sempena Kepengerusian ASEAN 2025, Malaysia berada pada kedudukan terbaik untuk meningkatkan daya tarikan rantau ini sebagai destinasi bagi penyelesaian pertikaian alternatif (ADR) yang berkesan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata visi itu memerlukan kerjasama pelbagai pihak dalam kalangan negara anggota ASEAN, disokong oleh pegawai kerajaan, institusi timbang tara, pengamal undang-undang dan pihak berkepentingan dalam industri.

“Bersama-sama, kita dapat menegaskan semula komitmen kita untuk menegakkan kedaulatan undang-undang, memperluas akses kepada keadilan dan membuat keputusan yang saksama menerusi mekanisme ADR yang berkesan.

“Dengan meningkatkan usaha sama ini, ia akan meningkatkan kualiti perkhidmatan dan memastikan rangka kerja kita diiktiraf dan dihormati di peringkat global,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Timbang Tara Antarabangsa 2024 Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Azalina berkata akses kepada keadilan menerusi mekanisme ADR yang cekap adalah penting untuk persekitaran komersial yang adil dan kukuh memandangkan kaedahnya seperti timbang tara dan pengantaraan memberikan penyelesaian praktikal yang efisien, adil dan komprehensif.

Beliau berkata rantau ASEAN mempunyai kekuatan unik yang mampu memacu kejayaan ADR secara ketara, menawarkan manfaat ekonomi yang besar selain berfungsi sebagai pemangkin kepada pertumbuhan serantau.

“Sistem undang-undang yang pelbagai, merangkumi undang-undang biasa, undang-undang sivil dan rangka kerja hibrid menyediakan peluang untuk menyelaraskan amalan timbang tara dan pengantaraan dengan piawaian global.

“Ini termasuk Undang-Undang Model Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Suruhanjaya Undang-Undang Perdagangan Antarabangsa (UNCITRAL), Konvensyen New York dan Konvensyen Singapura, mewujudkan prosedur rentas sempadan yang konsisten dan lancar yang meningkatkan kebolehramalan dan kecekapan perniagaan serantau,“ katanya sambil menambah bahawa hal ini akan menarik pelaburan asing dan seterusnya meletakkan ASEAN sebagai peneraju global dalam timbang tara dan pengantaraan.

Azalina berkata Malaysia turut menawarkan rangka kerja yang komprehensif dan mesra timbang tara bagi pelbagai jenis industri, daripada industri halal dan kewangan Islam kepada undang-undang sukan dan perdagangan antarabangsa.

Beliau berkata dengan badan kehakiman yang menyokong timbang tara, sokongan institusi yang teguh daripada Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) dan kelancaran mekanisme penguatkuasaan, Malaysia merupakan hab timbang tara yang selamat, boleh dipercayai dan efisien.

“Sama ada anda mencari penyelesaian pertikaian patuh syariah, timbang tara komersial antarabangsa atau penyelesaian berkaitan sukan; infrastruktur perundangan Malaysia, kepakaran profesional dan inovasi institusi menjadikannya pilihan utama untuk menjalankan timbang tara di rantau ini,” katanya.

Azalina menekankan keperluan untuk menerima inovasi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) ke dalam ADR dalam timbang tara kerana ia berpotensi untuk meningkatkan kecekapan, mengurangkan kos dan memperkemas proses kompleks dalam timbang tara antarabangsa.

Bagaimanapun, beliau berkata integrasi itu tidak boleh mengetepikan integriti, kesaksamaan dan keadilan yang menjadi asas kepada ADR.

Azalina turut menggesa rakan sejawatannya di ASEAN untuk meneroka mekanisme kerjasama serantau mengenai pelan hala tuju AI mengenai penyelesaian pertikaian alternatif sekali gus memastikan inovasi berkenaan memenuhi prinsip bersama di samping mengukuhkan kedudukan rantau ini dalam amalan timbang tara global.

“Forum ini akan berperanan sebagai platform untuk membincangkan kaedah terbaik mengintegrasikan AI ke dalam timbang tara antarababangsa sambil meningkatkan kecekapan dan memelihara integriti,“ tambahnya.

Forum bertemakan “Masa Depan Timbang Tara Antarabangsa: Pembaharuan dan Inovasi” merupakan anjuran bersama Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) dengan AIAC.

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Hong Kong hosts Lions International Convention for the third time

The Hong Kong Tourism Board is proud to support the 108th Lions International Convention 2026 in Hong Kong. Having previously hosted the convention in 1992 and 2005, Hong Kong has once again been chosen by Lions Clubs International as the venue for its flagship event, attracting around 17,000 delegates from across the globe.

Police hunt for man driving against traffic, hitting two vehicles on NSE

Acting Rembau district police chief DSP Azmi Ali said the incident occurred after the police ordered the 30-year-old driver to stop following a check that found the road tax and insurance for the Volkswagen Passat vehicle had expired.

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings