KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperkasakan penguatkuasaan undang-undang bagi mengekang aktiviti perjudian dalam talian di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Hilmi Abdullah berkata ia berikutan kegiatan haram itu bukan lagi di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) selepas Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 dibatalkan Februari tahun lepas.

“Pihak PBT hanya mempunyai kuasa untuk memeriksa syarat lesen premis perniagaan manakala aktiviti perjudian haram yang berselindung di sebalik perniagaan itu adalah di bawah bidang kuasa MCMC dan polis.

“Kita harap MCMC dapat mencari jalan penyelesaian melalui program atau peranti tertentu untuk membendung aktiviti judi haram ini dan juga laman pornografi atau permainan yang menawarkan wang pertaruhan,“ katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darul Naim, di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan ada pihak mendakwa lebih 40 premis judi dalam talian beroperasi secara aktif di beberapa jajahan di Kelantan termasuk Tanah Merah, Pasir Mas dan Kota Bharu dengan berselindung di sebalik kedai aksesori telefon yang didakwa beroperasi sejak lima tahun lalu.