Your Title

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui Jawatankuasa Pekerjaan Majlis Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya (MKBOKU) melaksanakan pelbagai inisiatif dan strategi dalam usaha meningkatkan akses pekerjaan bagi golongan OKU.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata bagi tempoh 2020 hingga 31 Dis 2024, sebanyak 70,566 pencari kerja dalam kalangan OKU termasuk peserta program Return To Work (RTW) telah berjaya mendapat pekerjaan.

“Program RTW merupakan program pengurusan hilang upaya untuk membantu pencarum yang cedera atau menghidap penyakit untuk dipulihkan dan kembali semula bekerja lebih awal, sihat serta selamat,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) yang ingin tahu strategi untuk membantu OKU mendapatkan akses kepada pekerjaan yang sewajarnya memandangkan masih kurang kesedaran, kesediaan dan keyakinan majikan untuk mengambil pekerja OKU.

Selain itu, Abdul Rahman berkata setakat Disember tahun lepas, sebanyak 1,915 OKU menyertai program pembangunan Person with Disbilities (PwD), yang merupakan satu inisiatif di bawah Program Latihan MADANI untuk memperkasakan OKU dengan kemahiran latihan asas melalui pelbagai kursus.

“Di samping itu, KESUMA menerusi Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) telah memberikan pentauliahan kepada 1,582 pusat bertauliah di seluruh Malaysia, dengan 922 daripada pusat ini telah menerima pelatih OKU untuk mengikuti latihan kemahiran,” katanya.

Beliau berkata KESUMA menerusi Jabatan Tenaga Manusia (JTM) juga telah melatih pelajar OKU di Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) dan menyediakan elaun sebanyak RM300 sebulan serta pengecualian yuran pengajian.

“Dalam tempoh tahun 2020 hingga 2024, sejumlah 245 orang pelajar OKU pelbagai kategori telah dilatih di ILJTM dalam bidang teknologi reka bentuk grafik, teknologi elektronik dan teknologi mekatron,” katanya.